Wednesday, December 21, 2011

puasa nabi

Puasa nabi s.a.w

Definisi dan dalil pensyariatan puasa

Puasa adalah satu ibadat yang mulia di sisi Allah s.w.t dan ianya merupakan salah satu rukun islam. Puasa dapat didefinisikan sebagai menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang dapat membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Dalil pensyariatan puasa ialah firman Allah s.w.t

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksud : Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (al-Baqarah : 183)

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksud : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. (al-Baqarah : 185)

Nabi s.a.w bersabda :

بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا عبده ورسوله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان
Maksud : islam ditegakkan atas lima perkara : mengakui bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan ramadhan. (H/R Bukhari dan Muslim)

Keutamaan/kelebihan berpuasa

Puasa mempunyai banyak keutamaan, antaranya ialah :

قال الله عز و جل كل عمل ابن آدم له إلا الصيام فإنه لي وأنا أجزي به والصيام جنة فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرقث يومئذا ولا يسخب فإن سابه أحدا أو قاتله فليقل إني امرؤ صائم والذي نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله يوم القيامة من ريح المسك وللصائم فرحتان يفرحهما إذا أفطر فرح بفطره وإذا لقي ربه فرح بصومه

Maksud : Allah s.w.t berkata semua amalan anak adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah bagiKu, dan akulah yang akan memberi pahala. Puasa itu adalah perisai, apabila seseorang berpuasa maka janganlah ia berkata keji dan kasar. Jika ada orang mencaci dan memusuhinya, hendalah ia berkata ”sesunggunya aku sedang berpuasa” demi jiwa muhammad yang berada di tanganNya, sungguh mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada wanginya minyak misik. Orang yang berpuasa mempunyai dua kebahagiaan, iaitu kebahagiaan ketika berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa tuhannya, dimana ia bahagia dengan (pahala) puasanya. (H/R Muslim)

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين
Maksud : jika bulan ramadhan datang maka seluruh pintu syurga dibuka dan seluruh pintu neraka ditutup, serta syaitan-syaitan dibelenggu. (H/R Muslim)

Penetapan waktu puasa

Puasa dimulakan dengan ru’yah hilal (melihat anak bulan). Puasa tidak akan dimulakan jika hilal (anak bulan) tidak kelihatan. Hal ini berlaku jika susah melihat anak bulan seperti dalam keadaan mendung. Ketika itu nabi menyuruh agar menggenapkan bulan sya’ban menjadi 30 hari. Nabi s.a.w bersabda

إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن أغمى عليكم فعدوا ثلاثين
Maksud : jika kamu melihat hilal (bulan sabit), maka berpuasalah. Jika kalian melihatnya kembali maka berbukalah, namun jika hilal terhalang oleh mendung maka genapkanlah hitungan bulan sya’ban hingga 30 hari. (H/R Muslim)

Seorang muslim dilarang berpuasa dalam keadaan syak iaitu ragu-ragu sama ada pada hari tersebut bulan ramadhan ataupun tidak.
Dalilnya ialah :

كنا عند عمار بن ياسر فأتى بشاة مصلية فقال كلوا فتنحى بعض القوم فقال إني صائم فقال عمار من صام اليوم الذي يشك به الناس فقد عصى أبا القاسم صلى الله عليه و سلم
Maksud : ketika kami berada di rumah ammar bin yasir, ia menghidangkan sate kambing lalu makanlah, sebahagian orang berpaling dan berkata aku sedang berpuasa. Ammar lantas berkata ”barangsiapa pada hari yang diragukan maka dia telah mendurhakai abu al-qasim (Muhammad s.a.w). (H/R Tirmizi)

Rukun puasa

a) Niat
setiap amalan adalah dengan niat ikhlas kerana Allah s.w.t . Allah s.w.t berfirman :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ
Maksud : Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus. (al-Bayyinah : 5)

Nabi s.a.w bersabda :

إنما الأعمال بالنيات
Maksud : Segala amalan hendaklah dengan niat. (H/R Bukhari dan Muslim)

Niat berpuasa hendaklah dilakukan pada malam hari. Nabi s.a.w bersabda :

من لم يبيت الصيام من الليل فلا صيام له
Maksud : barangsiapa tidak berniat dimalam hari (sebelum terbit fajar), tidak ada puasa baginya (H/R an-Nasai)
Untuk puasa sunat dibolehkan berniat walaupun di siang hari. Dalilnya ialah sabda nabi kepada isterinya Aisyah :
هل عندكم شيء ؟ فقلنا لا قال فإنى إذن صائم ثم
Maksud : apakah kamu mempunyai makanan. Aisyah menjawab : tidak. Baginda kemudian bersabda : kalau begitu aku berpuasa. (H/R Muslim)

Niat itu dihati (Fathul Bari syarah sahih bukhari m/s 19) bukan di mulut. Jika seseorang itu sudah bangun untuk bersahur, maka tindakannya itu sudah menunjukkan bahawa dia hendak berpuasa di keesokan hari dan adalah menjadi sesuatu yang tidak baik untuk melafazkan niat beramai-ramai di bulan ramadhan selepas solat tarawih.

b) menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar

hingga terbenamnya matahari.
Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah :
1) Makan dan minum dengan sengaja
Makan dan minum dengan sengaja menjadi ijmak seluruh kaum muslimin dan tidak ada khilaf dikalangan para ulama bahawa makan dan minum itu membatalkan puasa. Jika seseorang makan dan minum secara tidak sengaja maka ianya dimaafkan. Dalilnya ialah sabda nabi :
من نسي وهو صائم فأكل أو شرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه
Maksud : barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan ataupun minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya sesungguhnya Allahlah yang telah memberinya makan dan minum. (H/R Bukhari dan Muslim)
Suntikan yang mengandungi nutrien yang dapat mengembalikan kesegaran orang yang berpuasa maka perkara ini dapat membatalkan puasanya. Namun jika suntikan tersebut tidak mengandungi apa-apa zat makanan maka tidak mengapa. Merokok dikira sebagai pembatal puasa kerana jika diambil dapat menghilangkan lapar dan dahaga secara psikologi. Inilah pendapat yang benar. Wallahu’alam

2) Muntah dengan sengaja
من ذرعه القيء فليس عليه قضاء ومن استقاء عمدا فليقض
Maksud : barangsiapa yang muntah kerana terpaksa (tidak disengajakan). Maka tidak wajib mengqadha puasa. Tetapi barangsiapa yang muntah dengan sengaja. Maka dia harus mengqadhanya. (H/R Tirmizi. Disahihkan oleh Albani.)

3) Bersetubuh dengan sengaja
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالْآَنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آَيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksud : Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa. (al-Baqarah : 187)

Daripada ayat diatas, kita juga dapati bahawa Allah memberikan rukhsah bagi seorang suami untuk melakukan hubungan badan dengan isterinya pada waktu malam. Jika seseorang yang kesiangan lalu bangun pada keesokan hari dalam keadaan junub maka puasanya tidak batal. Dalilnya ialah :
أن رسول الله صلى الله عليه و سلم كان يدركه الفجر وهو جنب من أهله ثم يغتسل ويصوم
Maksud : Rasulullah s.a.w tidur sehingga kesiangan sedangkan baginda berada dalam keadaan junub bersama isterinya. Kemudian baginda mandi dan berpuasa (H/R Bukhari)

Tidak ada beza sama ada seseorang itu berada dalam keadaan junub disebabkan jimak atau mimpi. Wallahu’alam
Khilaf para ulama tentang status puasa seseorang yang mencium isterinya lalu keluar air maninya. Ada yang mengatakan batal puasanya dan ada yang mengatakan tidak. Pendapat yang paling kuat menurut kami ialah batal. Wallahu’alam

4) Haid dan Nifas
Aisyah pernah ditanya oleh muadzah
ما بال الحائض تقضي الصوم ولا تقضي الصلاة ؟ فقالت أحرورية أنت ؟ قلت لست بحرورية ولكني أسأل قالت كان يصيبنا ذلك فنؤمر بقضاء الصوم ولا نؤمر بقضاء الصلاة
Maksud : bagaimana pendapatmu tentang perempuan yang mengqadha puasanya tetapi tidak mengqadha solatnya. Aisya berkata : apakah engkau haruriyah ? muadzah menjawab : aku bukan haruri tetapi aku sekadar bertanya. Aisyah berkata : kami pun hadi ketika berpuasa, tetapi kami diperintah agar mengqadha puasa dan tidak diperintah agar mengqadha solat. (H/R Muslim)
5) Murtad

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksud : Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan. (al-an’am :88)

6) Gila
رفع القلم عن ثلاثة عن الننائم حتى يستيقظ وعن الصبي حتى يحتلم وعن المجنون حتى يعقل
Maksud : Diangkat qalam (tulisan amalan) bagi 3 jenis manusia. Orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi baligh, dan daripada orang gila sehinggalah dia berakal. (H/R Abu daud. Disahihkan oleh Albani)

Adab-adab berpuasa

a) bersahur
nabi s.a.w bersabda :

تسحروا فإن في السحور بركة
Maksud : bersahurlah, kerana sahur itu adalah berkat. (H/R Muslim)

فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر
Maksud : pembeza diantara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah sahur. (H/R Muslim)
Hendaklah melewatkan sahur. Telah diriwayatkan dari seorang sahabat bernama zaid bin tsabit r.a :

تسحرنا مع رسول الله صلى الله عليه و سلم ثم قمنا إلى الصلاة
قلت كم كان قدر ما بينهما ؟ قال خمسين آية
Maksud : kami bersahur bersama rasulullah s.a.w kemudian kami mendirikan solat. Baginda ditanya : berapakah jarak antara sahur dan solat. Baginda menjawab : kira-kira 50 ayat. (H/R Muslim)
Jika makanan masih ditangan kemudian seseorang mendengar azan maka hendaklah dia menyempurnakan hajatnya (meneruskan makan). Dalilnya ialah sabda nabi :

إذا سمع أحدكم النداء والإناء على يده فلا يضعه حتى يقضي حاجته منه
Maksud : Apabila salah seorang dari kalian telah mendengar azan dikumandangkan sedangkan gelas masih berada di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sampai ia menyelesaikan hajat­nya tersebut.(H/R Abu daud. Dinilai sebagai hasan sahih oleh Albani)
Sebaik-baik sahur ialah kurma. Nabi bersabda :

نعم سحور المؤمن التمر
Maksud : sebaik-baik makan sahur seorang mukmin ialah kurma. (H/R Abu daud. Disahihkan oleh Albani)
Hendaklah kita bersahur walaupun seteguk air. Nabi bersabda :

السحور أكله بركة فلا تدعوه ولو أن يجرع أحدكم جرعة من ماء فإن الله عز و جل وملائكته يصلون على المتسحرين
Maksud : bersahur makanannya diberkahi. Janganlah meninggalkan sahur walau hanya meminum seteguk air kerana Allah dan malaikatnya berselawat kepada orang-orang yang bersahur. (H/R Ahmad. Syuaib al-arnouth mengatakan hadis ini sahih tapi sanadnya dhaif. Hadis ini mempunyai 3 jalan. Dan insyaAllah saling menguatkan sebagaimana dikatakan syeikh salim ied al-Hilaly. Wallahu’alam. Maka darjat hadis sahih lighairi. Wallahu’alam)

b) berbuka
Hendaklah kita menyegerakan berbuka apabila telah masuk waktunya. Nabi s.a.w bersabda :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Maksud : manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama menyegerakan berbuka. (H/R Muslim)
Sebaik-baik makanan berbuka ialah rutab, kurma atau air. Nabi s.a.w bersabda :

كان النبي صلى الله عليه و سلم يفطر قبل أن يصلي على رطبات فإن لم تكن رطبات فتميرات فإن لم تكن تميرات حسا حسوات من ماء
Maksud : Adalah Nabi Shallallahu ’alaihi wa salam berbuka sebelum menunaikan sholat dengan beberapa rutab (kurma basah), dan apabila tidak memiliki rutab baginda berbuka dengan beberapa tamr (kurma kering), dan apabila tidak memiliki tamr baginda berbuka dengan meneguk seteguk air.(H/R Tirmizi. Dinilai sahih oleh Albani).
Rutab ialah kurma yang masih segar. Ia masak tapi belum kering. Ianya lembut dan manis. Tamar ialah kurma yang sudah kering. Jika tidak ada rutab nabi akan makan kurma dan jika tidak ada kurma nabi meminum air.
Semasa berbuka, makanlah dengan kadar yang sepatutnya. Allah s.w.t berfirman :

يَا بَنِي آَدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksud : Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-A’raf : 31)
Nabi s.a.w bersabda :

ما ملأ آدمي وعاء شرا من بطن بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه
Maksud : Anak Adam tidak mengisi suatu tempat yang lebih buruk daripada perutnya cukup bagi anak adam beberapa suap makanan untuk menegakkan punggungnya. (H/R Tirmizi. Disahihkan oleh Albani)
Berdoalah ketika berbuka. Antara doa nabi semasa berbuka ialah :

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksud : Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insyaAllah. (H/R Abu daud. Dihasankan oleh Albani)
Boleh juga berdoa menurut apa yang kita sukai. Nabi s.a.w bersabda :

ثلاثة لا ترد دعوتهم الإمام العادل والصائم حين يفطر ودعوة المظلوم
Maksud : Tiga orang yang tidak ditolak doa mereka, iaitu : seorang imam yang adil, seorang yang berpuasa ketika berbuka, dan do’a orang yang teraniaya. (H/R Tirmizi. Dinilai hasan oleh Albani. Jalan hadis dari Abu huraira No. 2536. bab sifat dan kenikmatan syurga. Wallahu’alam)
Doa yang sentiasa dibaca oleh orang ramai ialah :

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksud : Ya Allah, aku berpuasa untukMu, dengan rezekiMu aku berbuka. (H/R Abu daud)
Hadis diatas dinilai dhaif oleh ulama hadis. Oleh itu, syarat pengamalan hadis diatas adalah tidak menyandarkan doa tersebut kepada nabi. Boleh mengamalkannya, tetapi jangan menganggap bahawa doa tersebut berasal dari nabi s.a.w. Wallahu’alam.

c) Memperbanyakkan amal soleh
Hendaknya seorang muslim memperbanyakkan amalan soleh sesuai dengan petunjuk nabi s.a.w mengikut kemampuan mereka, jangan malas beramal sama ada dibulan lain dan bulan ramadhan. Jangan tertipu dengan hadis yang berbunyi :

قليل العمل ينفع مع العلم ، و كثير العمل لا ينفع مع الجهل
Maksud : Amalan yang sedikit akan bermanfaat, jika disertai oleh ilmu; dan amalan yang banyak tidak akan bermanfaat, jika disertai kejahilan. (H/R Ibnu Abdil Barr dalam kitabnya Jami’ bayan al-Ilmi wa fadhlihi)
Hadis diatas adalah palsu. Dalam sanadnya terdapat rawi yang dhaif. Imam abu hatim dan bukhari menilai dhaif Muhammad bin rauh bin imaran al-qutairy dan Abbad bin abdus samad dalam sanad hadis tersebut. Lihat kitab silsilah hadis dhaif, Syeikh Muhammad nasiruddin al-Albani No. 369.
Ramai kaum muslimin beralasan menggunakan hadis diatas untuk bersifat malas dalam beramal walhal jika dilihat pada hakikatnya mereka sendiri malas mencari ilmu !!!
Kami menasihati diri kami sendiri dan sahabat-sahabat yang lain agar perbanyakkan berzikir, membaca dan mendengar al-quran, menghayati isi kandungan al-quran, rajin ke masjid untuk mendengar pengajian-pengajian ilmiah yang bermanfaat, perbanyakkan sedekah pada kaum kerabat dan orang-orang yang memerlukan dan amal soleh yang lain. Contohilah nabi yang mana baginda adalah orang yang paling lapang dalam kebaikan dan paling murah hati di bulan ramadhan. Wallahu’alam.

d) Meninggalkan perbuatan jahat
Jadilah insan yang berakhlak baik, jauhi kekufuran, jauhi bid’ah dan jagalah lisan. Berhujahlah dengan puasa jika diri kita dikacau.

فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرقث يومئذا ولا يسخب فإن سابه أحدا أو قاتله فليقل إني امرؤ صائم
Maksud : Apabila salah seorang dari kalian sedang berpuasa, maka janganlah mengumpat dan jangan pula membentak-bentak. Apabila ada seorang yang mencela atau menganiayanya, maka katakanlah : sesungguhnya aku seorang yang sedang berpuasa. (H/R Bukhari dan Muslim)
Kami ingin menasihati diri kami dan sahabat sekalian sekali lagi agar menjaga lisan. Sesungguhnya nabi s.a.w telah bersabda :

من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Maksud : Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta atau melakukan kedustaan, maka Allah tidak perlu akan (puasanya yang) meninggalkan makan dan minum.” (HR Bukhari)
Nabi s.a.w telah memperingatkan kita bahawa :

كم من صائم ليس له من صيامه إلا الظمأ
Maksud : Betapa banyak orang yang berpuasa, namun dia tidaklah mendapatkan dari puasanya melainkan hanya dahaga. (H/R Darimi. Hadis ini sahih dan isnadnya hasan)
Sebagai pengikut nabi yang sejati pegang teguhlah setiap kata-kata nabi s.a.w.

e) Menyediakan makanan bagi mereka yang berbuka puasa
من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Maksud : barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang yang berpuasa) tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun. (H/R Tirmizi. Beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Disunnahkan agar kita memberi makan orang yang berpuasa. Jika tidak mampu berilah kurma, rutab ataupun air. Lakukanlah hal ini sekali-sekala kerana ia mempunyai manfaat yang sangat besar. Selain daripada diperi pahala hikmah daripada perbuatan ini ialah mengeratkan hubungan diantara seorang muslim dengan muslim yang lain. Ini selaras dengan hadis yang berbunyi :
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksud : Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya (sesama muslim) seperti ia mencintai sendiri. (H/R Bukhari dan Muslim)
Nabi s.a.w bersabda :

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا
Maksud : orang mukmin bagi orang mukmin yang lain adalah seperti bangunan. Saling menguatkan sebahagian dengan sebahagian yang lainnya. (H/R Muslim)
Disunnahkan agar kita mendoakan orang yang memberi kita makan dengan doa berikut :

اللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِى وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِى
Maksud : Ya Allah berilah makan orang yang telah memberi aku makan dan berilah minum orang yang telah memberi aku minum. (H/R Muslim)
Atau,

أَكَلَ طَعَامَكُمْ الْأَبْرَار وَصَلَّتْ عَلَيْكُمْ الْمَلَائِكَةُ وَ أَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُونَ
Maksud : Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat. (H/R Ahmad. Dinilai sahih oleh syuaib al-Arnouth)
p/s : terdapat kesalahan baris pada doa diatas. Bacaan yang sebenar ialah wassalat ‘alaikumul malaikatu. Wallahu’alam. Maaf kerana tidak dapat betulkan baris.
Perbuatan memberi makan muslim yang lain sangat besar manfaatnya. Kita memohon kepada Allah agar dapat mengamalkan hal ini.

Perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa

a) Makan dan minum kerana terlupa
من نسي وهو صائم فأكل أو شرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه
Maksud : barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan ataupun minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya sesungguhnya Allahlah yang telah memberinya makan dan minum. (H/R Bukhari dan Muslim)

b) Muntah dengan tidak sengaja
من ذرعه القيء فليس عليه قضاء ومن استقاء عمدا فليقض
Maksud : barangsiapa yang muntah kerana terpaksa (tidak disengajakan). Maka tidak wajib mengqadha puasa. Tetapi barangsiapa yang muntah dengan sengaja. Maka dia harus mengqadhanya. (H/R Tirmizi. Disahihkan oleh Albani.)

c) Mencium isteri selagi tidak membawa kepada jimak
كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يقبل وهو صائم ويباشر وهو صائم ولكنه أملككم لإربه
Maksud : adalah Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, bercumbu dalam keadaan puasa. Tetapi baginda adalah yang paling berdaya menahan dirinya. (H/R Muslim)
Bagi yang tidak mampu mengawal nafsu atau khuatir terjerumus kepada jimak hendaklah meninggalkan perbuatan tersebut.

d) Mimpi basah di siang hari. Jika air mani keluar secara tidak sengaja maka ini tidak
membatalkan puasa.

e) Berkumur-kumur serta memasukkan air dalam hidung secara tidak berlebihan
أسبغ الوضوء وخلل بين الأصابع وبالغ في الاستنشاق إلا أن تكون صائما
Maksud : Sempurnakan wudhu’ dan selah jari jemari serta hiruplah air dengan kuat (istinsyaq) kecuali apabila engkau sedang berpuasa (H/R Abu daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan an-Nasai)

f) Suntikan yang tidak mengandungi zat makanan

g) Menelan air liur serta apa-apa yang tidak mungkin dapat dihindari.

h) Berbekam

احتجم النبي صلى الله عليه و سلم وهو صائم
Maksud : berbekam nabi s.a.w sedangkan dia berpuasa (H/R Bukhari)
Hadis yang melarang berbekam telah dimansukhkan oleh hadis ini. wallahu’alam

i) Merasa makanan
Dibolehkan bagi seorang tukang masak untuk merasa makanan supaya makanan yang dimasaknya mempunyai rasa yang baik. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak menelan makanan tersebut. Dalilnya ialah

لا بأس أن يذوق الخل أو الشيء ما لم يدخل حلقه وهو صائم
Maksud : Tidak mengapa merasa sayur atau sesuatu selagi tidak sampai ke tenggorokannya walaupun dia sedang berpuasa. (H/R Ibnu Abi Syaibah. Hadis ini hadis hasan. Wallahu’alam)

j) Memakai celak, menitiskan ubat dimata, mengorek telinga dan hidung, menggunakan
inhaler bagi pesakit asma tidak membatalkan puasa.

k) Membasahkan badan dan menjirus air ke atas kepala

رأيت رسول الله صلى الله عليه و سلم بالعرج يصب على رأسه الماء وهو صائم من العطش أو من الحر
Maksud : Aku melihat Rasulullah s.a.w menjirus air ke kepalanya sedangkan baginda dalam keadaan puasa kerana kehausan atau kepanasan. (H/R Abu daud dan Ibnu Majah. Disahihkan oleh Albani)
Ini juga adalah perbuatan sahabat,
وبل ابن عمر رضي الله عنهما ثوبا فألقاه عليه وهو صائم
Maksud : Ibnu Umar r.a. membasahi bajunya lalu memakainya. Ketika itu dia sedang berpuasa. (A/R Bukhari)

Yang dibolehkan tidak berpuasa

a) Musafir
Seorang musafir boleh berbuka puasa tetapi hendaklah menggantikan puasa yang dia batalkan. Ini adalah rukhsah Allah untuk para musafir. Allah berfirman :

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksud : Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (al-Baqarah : 184)
Nabi s.a.w juga pernah bersabda tentang berpuasa ketika safar :

إن شئت فصم وإن شئت فأفطر
Maksud : berpuasalah jika kamu mahu dan berbukalah jika kamu mahu.
Siapa yang mampu berpuasa ketika safar maka berpuasalah dan jika tidak mampu serta terasa diri terseksa akibat lapar dan dahaga sangat maka berbukalah. Tidak ada beza diantara orang yang berbuka ketika dalam perjalanan mahupun yang berpuasa ketika perjalanan. Abu said al-Khudri pernah berkata :

كنا نسافر مع رسول الله صلى الله عليه و سلم فمنا الصائم ومنا المفطر فلا يجد المفطر على الصائم ولا الصائم على المفطر فكانوا يرون أنه من وجد قوة فصام فحسن ومن وجد ضعفا فأفطر فحسن
Maksud : Kami berpergian bersama rasulullah s.a.w. Diantara kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka. Orang yang berbuka tidak mencela orang yang berpuasa dan orang yang berpuasa tidak mencela orang yang berbuka. Mereka berpendapat bahawa barangsiapa yang kuat lalu berpuasa, maka itu baik. Barangsiapa yang mendapatkan dirinya lemah, lalu dia berbuka, itu juga baik. (H/R Tirmizi. Dinilai sahih oleh Albani)
Orang yang lemah dalam perjalanan tidak patut memaksa dirinya.

كان رسول الله صلى الله عليه و سلم في سفره فرأى رجلا قد اجتمع الناس عليه وقد ضلل عليه فقال ماله ؟ قالوا رجل صائم فقال رسول الله عليه وسلم ليس من البر أن تصوموا في السفر
Maksud : Suatu ketika Rasulullah s.a.w dalam perjalanan. Baginda melihat seorang lelaki yang dikerumuni oleh banyak orang. Orang itu dilindungi dari panas matahari. Lalu rasulullah s.a.w bertanya : Apa yang terjadi dengannya. Mereka menjawab : dia sedang berpuasa. Kemudian rasulullah s.a.w bersabda : Tidak termasuk kebaikan jika kamu berpuasa dalam perjalanan. (H/R Muslim)
Oleh itu, adalah lebih baik bagi orang yang lemah dalam perjalanan berbuka daripada terus berpuasa sebagaimana dalam hadis diatas.

b) Orang yang sakit
orang yang sakit dan dikhuatiri jika dia puasa dapat mengakibatkan kemudaratan yang teruk kepada dirinya dibolehkan untuk berbuka. Wallahu’alam

c) Perempuan yang mengalami haid dan Nifas
Aisyah pernah ditanya oleh muadzah

ما بال الحائض تقضي الصوم ولا تقضي الصلاة ؟ فقالت أحرورية أنت ؟ قلت لست بحرورية ولكني أسأل قالت كان يصيبنا ذلك فنؤمر بقضاء الصوم ولا نؤمر بقضاء الصلاة
Maksud : bagaimana pendapatmu tentang perempuan yang mengqadha puasanya tetapi tidak mengqadha solatnya. Aisya berkata : apakah engkau haruriyah ? muadzah menjawab : aku bukan haruri tetapi aku sekadar bertanya. Aisyah berkata : kami pun hadi ketika berpuasa, tetapi kami diperintah agar mengqadha puasa dan tidak diperintah agar mengqadha solat. (H/R Muslim)
Tidak ada khilaf dikalangan ahlul ilmi tentang hal ini.

d) Orang yang lanjut usia
Apabila usia telah lanjut dan susah untuk berpuasa maka dibolehkan untuk berbuka tetapi hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan orang miskin. Dalilnya ialah :

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksud : Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan orang miskin. (al-Baqarah : 184)
Ibnu Abbas berkata : ayat ini tidak dimansukhkan. Ia ditujukan kepada orang lelaki dan wanita yang terlalu tua dan tidak mampu berpuasa. Mereka hendaklah memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. (Fiqh manhaji, m/s 350)

e) Wanita hamil dan menyusukan
Nabi s.a.w bersabda :

إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم وشطر الصلاة وعن الحامل أو المرضع الصوم أو الصيام
Maksud : sesungguhnya Allah s.w.t telah mengangkat puasa (boleh berbuka) dan mengurangkan sembahyang (boleh berqasar) bagi orang-orang musafir, dan menggugurkan puasa bagi orang-orang hamil dan menyusukan. (H/R Tirmizi. Albani mengatakan hadis ini hasan sahih)
Orang yang hamil dan menyusukan sama hukumnya seperti orang tua yang tidak mampu berpuasa. Hendaklah memberi makan orang miskin.
Antara qadha dan fidyah
Penulis juga berminat untuk memberi penerangan lanjut tentang qadha dan fidyah. Qadha bererti menggantikan puasa manakala fidyah bermaksud memberi makan kepada orang miskin. Mengqadha puasa diwajibkan ke atas orang yang memiliki keuzuran di dalam bulan Ramadhan, namun keuzuran tersebut hilang selepas bulan Ramadhan. Membayar fidyah diwajibkan ke atas orang memiliki keuzuran secara berterusan di dalam bulan Ramadhan dan selepas bulan Ramadhan. Tidak ada qadha dan fidyah sekali gus tetapi yang ada ialah qadha atau fidyah. Wallahu’alam. Ringkasan kes keuzuran untuk tujuan pemahaman adalah seperti berikut :

Kategori pertama:
Keuzuran yang mewajibkan seseorang itu untuk tidak berpuasa dan dia wajib mengqadhanya selepas itu. Ini adalah keuzuran yang dialami oleh para wanita yang didatangi haid dan nifas.

Kategori kedua:
Keuzuran yang memberi pilihan kepada seseorang untuk berpuasa atau tidak dan faktor keuzuran tersebut hilang selepas bulan Ramadhan berakhir. Maka dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan. Contohnya:
1. Orang yang bermusafir di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa. Setelah bulan Ramadhan dia tidak lagi bermusafir, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.
2. Orang yang sakit di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa kerana yakin sama ada berdasarkan pengalaman atau nasihat doktor pakar bahawa berpuasa akan memudaratkan lagi kesihatannya. Setelah itu dia kembali sihat, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.
3. Orang yang terpaksa bekerja keras di dalam bulan Ramadhan sehingga dia tidak terdaya berpuasa. Akan tetapi selepas itu dia tidak lagi membuat apa-apa kerja keras, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.
4. Orang yang tinggal di tempat yang waktu siangnya amat panjang. Demikian juga pelajar Malaysia yang pergi belajar di tempat yang seumpama. Siang yang panjang menyebabkan mereka tidak mampu untuk berpuasa. Mereka boleh memilih untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan wajib menqadhanya apabila tiba musim di mana waktu siangnya adalah lebih pendek.
5. Seorang ibu yang mengandung atau menyusukan anak di dalam bulan Ramadhan, dia memilih untuk tidak berpuasa demi menjaga kesihatan diri dan/atau anaknya. Setelah itu dia tidak lagi mengandung atau menyusukan anak. Maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.

Kategori ketiga:
Keuzuran yang memberi pilihan kepada seseorang untuk berpuasa atau tidak dan faktor keuzuran tersebut tetap wujud selepas bulan Ramadhan berakhir. Maka dia tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan tetapi hanya perlu membayar fidyah, iaitu bagi setiap hari yang ditinggalkan, dia memberi makan kepada satu orang miskin dengan kadar yang dapat mengenyangkan orang tersebut. Contoh bagi kategori ketiga ini:
1. Orang yang mengalami sakit yang tetap atau berpanjangan, seperti kanser, gastrik yang serius atau semata-mata kerana tua. Dia tidak dapat berpuasa sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selepasnya. Maka orang seperti ini tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.
2. Orang yang terpaksa bekerja keras (hard labour) secara tetap seperti pekerja buruh, pembinaan, lombong dan sebagainya. Dia tidak dapat berpuasa sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selepasnya. Maka orang seperti ini tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.
3. Orang yang tinggal di kawasan yang berhampiran kutub utara atau selatan. Sepanjang tahun waktu siang adalah tanpa malam kecuali pada beberapa hari. Dia tidak dapat berpuasa kecuali pada beberapa hari yang memiliki peredaran siang dan malam. Maka bagi orang seperti ini dia tidak wajib mengqadha puasa kecuali hanya membayar fidyah.
4. Seorang ibu yang mengandung atau menyusukan anak di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa. Namun menjelang Ramadhan seterusnya, dia telah mengandung kembali atau masih menyusukan anak. Maka bagi si ibu dia tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.
(Disalin daripada risalah Puasa Ramadhan antara yang ditinggalkan dan ditokok tambah, Hafiz Firdaus Abdullah)

Perkara-perkara yang ditokok tambah dalam puasa

a) Memasukkan sesuatu dalam rongga badan
Sudah masyhur dikalangan masyarakat kita hari ini bahawa perkara-perkara seperti memasukkan pen kedalam hidung dan telinga, menelan air liur, mengorek telinga dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya membatalkan puasa walhal tidak ada nas yang menyatakan hal tersebut. Perkara pembatal puasa yang disebutkan hanyalah 3 sahaja iaitu bersetubuh, makan dan minum. Manakala untuk perempuan ditambah lagi satu faktor pembatal iaitu keluar darah haid atau nifas. Kebanyakan kaedah untuk mengeluarkan hukum memasukkan sesuatu dalam rongga badan adalah batal dibina atas dasar yang tidak kukuh serta tidak mengikut kefahaman nas yang sebenar malahan ada yang tidak berlandaskan dalil langsung. Maka hal ini sepatutnya tidak boleh. Oleh itu, kami pertegaskan bahawa memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan TIDAK membatalkan puasa

b) Mewajibkan membaca lafaz niat
Ustaz hafiz firdaus abdullah berkata dalam salah sebuah buknya :
Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.

c) Menetapkan waktu imsak
Syeikh Muhammad bin soleh al-uthaimin ditanya :
Kami melihat di sebahagian kalendar bulan ramadhan terdapat bahagian dinamakan imsak, terjadi kira-kira 10 minit sebelum azan fajar. Apakah ada dasarnya dari sunnah atau termasuk perkara baru. Berilah kami fatwa dan semoga anda mendapat pahala.
Syeikh menjawab :
Imsak termasuk perkara baru dan tidak ada dasarnya dari al-quran atau sunnah. Allah s.w.t berfirman :

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
Maksud : dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. (al-Baqarah : 187)
Nabi s.a.w bersabda :

كلوا واشربوا حتى يؤذن ابن أم مكتوم فإنه لا يؤذن حتى يطلع الفجر
Maksud : makan dan minumlah sehingga mendengar Ibnu ummi maktum azan. Sesungguhnya dia tidak berazan sehingga terbit fajar. (H/R Bukhari)
Imsak yang dibuat oleh sebagian orang merupakan tambahan atas apa yang diajarkan Allah, hal itu termasuk batil dan termasuk berlebih-lebihan dalam beragama.
(Disalin dari risalah berpuasa dan bersahur menurut sunnah, Ustaz Rasul bin dahri)

d) Menghukum makruh jika mandi ketika berpuasa.
Yang benar hukumnya adalah sunnah. Dalil :
رأيت رسول الله صلى الله عليه و سلم بالعرج يصب على رأسه الماء وهو صائم من العطش أو من الحر
Maksud : Aku melihat Rasulullah s.a.w menjirus air ke kepalanya sedangkan baginda dalam keadaan puasa kerana kehausan atau kepanasan. (H/R Abu daud dan Ibnu Majah. Disahihkan oleh Albani)

e) Qadha dua kali jika berbuka dalam puasa qadha
Termasuk hukum yang ditokok tambah adalah, jika seseorang itu sedang mengqadha puasa lalu dia membuka puasa tersebut sama ada kerana sengaja atau tidak, maka dia perlu mengqadha sebanyak dua puasa, yang pertama puasanya yang asal manakala yang kedua adalah puasa qadha yang dibukanya itu. Contoh, jika seorang muslimah sedang berpuasa untuk menqadha puasa Ramadhannya yang lalu, kemudian pada siang hari dia didatangi haid sehingga terpaksalah dia berbuka, maka kononnya dia diwajibkan qadha dua kali, pertama adalah mengqadha puasa Ramadhan yang lalu, kedua mengqadha puasa qadha yang dibukanya.
Yang benar muslimah tersebut hanya perlu mengqadha sekali, iaitu puasa Ramadhan yang lalu. Demikian juga, sesiapa yang membuka puasa qadhanya maka kewajipan dia hanya mengqadha sekali, iaitu puasa asal yang perlu diqadhanya. Ini kerana maksud “qadha” ialah melaksanakan suatu ibadah di luar waktunya dan kewajipan mengqadha hanyalah ke atas ibadah yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktunya yang asal. Tidak ada qadha ke atas ibadah yang sedang dilakukan di luar waktunya yang asal.

Khatimah
Kami ingin mengucapkan kepada sahabat pembaca sekalian semoga risalah ini bermanfaat dan menambah ilmu kita tentang tatacara berpuasa yang sebenar mengikut al-quran dan sunnah berdasarkan pemahaman yang benar. Kami menutup risalah ini dengan beberapa untaian nasihat daripada syeikh Abdul Aziz bin baz r.h :
Pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” [al-Baqarah 2:183]
Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” [al-Baqarah 2:185]
Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” [al-Qadr 97:1-3]
Selain itu diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. [Shahih Muslim – hadis no: 760]
Kewajipan berpuasa (juga mengajar kita) menjaga diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.
(Disalin daripada buku menelan air liur tidak membatalkan puasa, Hafiz Firdaus Abdullah. Link asal fatwa : http://www.binbaz.org.sa/Display.asp?f=Bz00239.htm )
Rujukan :
al-Quranul karim
Kutub as-sittah
Menelan air liur tidak membatalkan puasa, Himpunan risalah berkenaan puasa dan isu-isu berkaitan. Hafiz Firdaus Abdullah. Edisi E-book. Boleh didownload di www.hafizfirdaus.com
Mukhtasar Zadul Ma’ad, Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Pustaka Azzam, cetakan 2003
Kertas kerja berpuasa dan bersahur menurut sunnah, Rasul bin dahri
Puasa nabi, Syeikh salim bin Ied al-Hilaly dan syeikh ali Hasan abdul hamid al-Halaby
Fiqh al-Manhaji, edisi terjemahan melayu dengan judul Kitab fikah mazhab syafie, Jilid kedua, Pustaka salam, cetakan 1999
Bekal-bekal ramadhan, Syeikh Muhammad bin Jamil Zainu
Tuntunan Ibadah di bulan ramadhan, Syeikh Muhammad Ibnu jaarullah
Ensiklopedia fatwa syeikh albani, pustaka as-sunnah
Bulughul maram, Ibnu hajar al-Asqalany, jilid 1, pustaka ulil albab
Silsilah hadis Dhaif, Muhammad Nasiruddin al-Albani

No comments:

Post a Comment